Pengenalan
Penubuhan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Penerbitan (ReMAP) yang dahulu dikenali sebagai Pusat Penyelidikan dan Konsultasi (SELIKON) pada 1 Mac 2004 adalah bertujuan untuk mempertingkatkan aktiviti penyelidikan serta menjadikannya sebagai satu budaya yang berterusan di kalangan warga akademik MKM. Ini adalah kerana pembudayaan penyelidikan secara lebih meluas adalah dirasakan penting bagi membawa inovasi serta mempertingkatkan kualiti pendidikan dan latihan yang diberikan oleh MKM.
Di samping mengeratkan hubungan di antara MKM dengan koperasi, kegiatan penyelidikan juga akan memantapkan usaha MKM dalam menyediakan tenaga pakar dan para ilmuan dalam pelbagai bidang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran koperasi yang dapat dijadikan rujukan oleh gerakan koperasi di Malaysia. Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Penerbitan juga memainkan peranan yang aktif dalam menghasilkan bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai bentuk dan menyebarluaskan maklumat yang relevan untuk kegunaan warga koperasi.
Pusat ReMAP yakin akan dapat terus memperkembangkan dan menjalankan peranannya selaras dengan visi MKM untuk menjadi institusi pendidikan koperasi bertaraf dunia.