Sejarah

Maktab Koperasi Malaysia (MKM) yang sebelum ini dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia merupakan satu-satunya pusat latihan koperasi di negara ini.

Ketika ditubuhkan pada tahun 1956, keperluan kewangannya dibiayai oleh Colonial Welfare dan Development Fund, manakala kerajaan pula telah memberikan sumbangan yang amat besar bagi menggalakkan pembangunan MKM keseluruhannya.

Pada tahun 1968, MKM telah diiktiraf sebagai sebuah badan berkanun melalui Akta Maktab Kerjasama (Perbadanan) 1968 yang diluluskan oleh Parlimen pada 11 September 1968. Sesuai dengan peredaran masa, Parlimen telah meluluskan Akta Maktab Kerjasama (Perbadanan)(Pindaan ) 2011[Akta 1398] yang mula berkuatkuasa pada 1 September 2011 bertujuan untuk memperkemaskan tadbir urus MKM supaya dapat merancang dan menjalankan program yang inovatif dan kreatif bagi menyokong pembangunan gerakan koperasi.

MKM pernah diletakkan di bawah beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertanian dan juga Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Mulai tahun 2009, MKM telah diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga kini.

Alamat

Maktab Koperasi Malaysia (Kampus Induk)
103 Jalan Templer
46700, Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

Email: mkm[@]mkm.edu.my
No. Tel: 603-79649000 / Faks: 603-79570434

Kampus MKM 

Kampus induk MKM terletak di Petaling Jaya dan berhampiran dengan ibukota Kuala Lumpur, kampus ini mudah dihubungi dengan pelbagai kemudahan pengangkutan seperti bas, LRT dan teksi. Ini memudahkan masyarakat secara umum dan gerakan koperasi khususnya untuk ke sini.

Kawasan MKM yang dihiasi seni taman yang menarik pula mewujudkan persekitaran yang tenang dan damai. Ciri-ciri yang sebegini menjadikan MKM tempat pilihan untuk mengadakan perjumpaan, mesyuarat, kursus, seminar, bengkel dan sebagainya.

Pada bulan Jun 1997 MKM telah membuka cawangan di Kota Kinabalu, Sabah dan telah menawarkan perkhidmatan di Kuching, Sarawak pada September 1998. MKM membuka Zon Timur di Pahang pada tahun 2009, Zon Utara di Kedah pada tahun 2010, dan Zon Selatan di Johor juga pada tahun 2010 untuk membolehkan program latihan dan pendidikan koperasi dapat diikuti dengan lebih mudah di seluruh negara.