Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia

Latihan dan pendidikan koperasi mempunyai kelebihan menyebar ilmu untuk semua peringkat koperator dari bangku sekolah sehingga warga emas.  Ternyata peranan MKM mampu memenuhi kitaran pembelajaran sepanjang hayat.  Persediaan MKM adalah ke arah penjanaan ilmu kepada gerakan koperasi.  Tertubuhnya Kolej i-COOP menawarkan program akademik generasi muda ke peringkat diploma dan ijazah mampu memperkasakan profesionalisme pengurusan koperasi ke arah tadbir urus yang terbaik.

Usaha MKM merakyatkan program latihan koperasi diperkenalkan di setiap wilayah/lokasi dengan mengadakan Program Lestari Modal Insan Koperasi (LMIK) melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).  Gabungan ini mampu memperkasakan pembangunan modal insan ke lapisan akar umbi dalam kalangan koperator.  Ini selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Negara.

Bagi meningkatkan keupayaan modal insan pengurusan dan Anggota Lembaga Koperasi, MKM dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) diberi kepercayaan mengendalikan Standard Kemahiran Pekerjaan Malaysia (SKPK) untuk memperoleh Diploma melalui pengiktirafan pengalaman terdahulu.  Ianya selaras dengan kehendak kerajaan melalui pendekatan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

MKM menyokong Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan dengan melaksanakan e-Usahawan bagi tujuan menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital dalam kalangan koperator khususnya dan warga Malaysia amnya.

Segala usaha ini dibuat sejajar dengan visi MKM untuk menjadi institusi rujukan dan peneraju pembangunan modal insan koperasi yang unggul, serta memperluaskan peranan dan fungsi latihan dan pendidikan koperasi yang lebih dinamik.  MKM perlu membuka dimensi baharu kepada Institut Koperasi Malaysia.  Cadangan pindaan Akta MKM akan dibentang dalam Parlimen bagi tahun 2018.  Moga MKM meneruskan pembelajaran sepanjang hayat yang lebih berketrampilan.

MKM Jasamu Di Hati Koperator

“Latihan Kreatif Koperasi Progresif”


KETUA PENGARAH

MAKTAB KOPERASI MALAYSIA