Program ini penting untuk membolehkan Lembaga memahami konsep koperasi serta mengenal pasti peranan dan tanggungjawab mereka. Sehubungan itu kursus ini akan membolehkan Anggota Lembaga mentadbir dan mengurus koperasi mengikut kehendak undang-undang dan falsafah koperasi serta mempraktikkan tadbir urus koperasi yang baik. Program ini turut diselaras oleh pegawai pengembangan SKM bagi mengenalpasti peserta yang terlibat sementara MKM akan memberi kerjasama dengan memberi pembiayaan, menyediakan penceramah dan nota yang berkaitan.

Berdasarkan kepada persekitaran operasi koperasi, Ahli Lembaga Koperasi (ALK) memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Keperluan kepada ilmu pengetahuan ini telah diberi penekanan oleh Akta Koperasi 1993 yang menetapkan kuasa dan tanggungjawab Lembaga yang pada umumnya berkuasa untuk mengurus dan mengawasi sumber dan aset koperasi dengan cekap dan berkesan.
 
Dalam melaksanakan hal ehwal sesuatu koperasi, ALK dikehendaki berhemat dan bertekun seperti ahli-ahli perniagaan yang biasa dan hendaklah bertanggungjawab bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh sebab kegagalan mereka berhemat dan bertekun itu seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 45(1) Akta Koperasi 1993.

Justeru itu, ALK dikehendaki untuk hadir kursus Wajib seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Garis Panduan 5 bagi meningkatkan kompetensi dan tadbir urus koperasi.  Kursus ini hendaklah diikuti dalam tempoh lantikan selepas seseorang itu dilantik sebagai ALK.