gambar-KP

DARI MEJA KETUA PENGARAH


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera serta Selamat Tahun Baru 2017. Alhamdulliah, syukur ke hadrat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.


Tahun 2016 telah berlalu dengan pantas serta membawa kenangan kepada warga MKM melalui pelbagai program sambutan Ulang Tahun MKM ke-60. Sepanjang 60 tahun kewujudannya, kita telah menyaksikan pelbagai kemajuan latihan dan pendidikan koperasi dicapai seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa gerakan koperasi negara.


Tahun 2016 juga, MKM telah mencapai KPI (Key Performance Index) melaksanakan sebanyak 850 buah pelbagai program meliputi Kursus Wajib, Bicara Ilmu & Bicara Profesional, Bidang Keberhasilan, Konsultasi dan Penyelidikan, dengan penyertaan 40,663 anggota koperator seluruh negara. Begitu juga, pengambilan 152 pelajar baru yang mengikuti program Diploma Pengurusan Koperasi di bawah kendalian Kolej iCOOP ( IPTS milik penuh MKM ).


Tahun 2017 merupakan tahun cabaran merealisasikan pertumbuhan ekonomi gerakan koperasi yang memerlukan peningkatan daya saing dan mentransformasikan sektor bidang keberhasilan. Semestinya peranan MKM adalah meningkatkan pembangunan modal insan untuk koperasi berdaya maju. Tumpuan memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan perlu disemai ilmu pengetahuan kepada semua peringkat anggota koperasi termasuk belia dan wanita.


Tahun 2017 juga, saya yakin warga MKM mampu iltizam menambah baik kualiti latihan dan pendidikan koperasi untuk meningkatkan ‘outcome’ program yang dikendalikan serta kecemerlangan institusi MKM walaupun dengan kekangan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPK). Sehubungan itu, MKM mengambail langkah penjimatan dan perbelanjaan secara berhemah serta meningkatkan sumber dalaman.


Semoga segala usaha kita memartabatkan gerakan koperasi melalui program latihan dan pendidikan memerlukan keikhlasan bekerja dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala kerjasama yang diberikan oleh semua warga MKM serta warga bersara MKM yang telah berjasa. Begitu juga sokongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA dan gerakan koperasi.


Tahun 2017, Insya ALLAH MKM akan memperkasakan latihan dan pendidikan koperasi bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, selain daripada Kementerian Belia & Sukan sejak 2016. Syabas diucapkan atas pelaksanaan kempen ‘Jom Kenali Koperasi’ dalam aktiviti promosi program MKM 2017 yang berjalan lancar dalam bulan Januari dan Februari ini.

Selamat Maju Jaya MKM.

"Latihan Inovatif, Koperasi Progresif"

PROF MADYA DR ABDUL RAHMAN ABDUL RAZAK SHAIK
KETUA PENGARAH MAKTAB KOPERASI MALAYSIA
rahmanshaik[@]mkm.edu.my