Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020, telah mengariskan halatuju perkembangan sektor koperasi dalam pembangunan negara. DKN telah menyasarkan pencapaian perolehan sektor koperasi sebanyak RM50 billion menjelang tahun 2020. Maka, peranan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dalam Teras Strategik 3 DKN amat besar bagi mewujud dan meningkatkan keupayaan modal insan koperasi di Malaysia.

IKM komited untuk menjadi sebuah pusat rujukan dan peneraju pembangunan modal insan koperasi yang unggul di masa hadapan. Dengan wawasan baharu yang telah dibentuk, IKM mampu melahirkan lebih ramai koperator yang terlatih, kompeten dan dinamik. Kecemerlangan latihan dan pendidikan koperasi akan dapat direalisasikan melalui penjenamaan semula MKM kepada Institut (Kecemerlangan) Koperasi Malaysia (IKM) seperti yang telah diluluskan pada 11 Disember 2018.

Penjenamaan IKM akan mengubah landscape dalam latihan dan pendidikan koperasi yang akan memberi fokus kepada pembudayaan bidang keusahawanan dalam koperasi, infrastruktur yang lebih kondusif, identiti serta imej yang mantap dan penyampaian maklumat yang lebih effektif kepada audiens.

Bagi memberi impak maklumat yang konsisten dan berkesan, IKM akan sentiasa menambahbaik portal dengan pelbagai maklumat terkini, rekabentuk yang lebih menarik dan mudah untuk dilayari serta mesra pelanggan.

Portal IKM akan berfungsi sebagai platform utama bagi pelbagai capaian maklumat dan menjadi ‘gerbang’ kepada sistem atas talian IKM kepada pelanggannya. Ini seiring dengan kehendak pihak Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning (MAMPU), supaya setiap agensi kerajaan sentiasa meningkatkan kualiti sistem penyampaian maklumat perkhidmatan dalam talian dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak MAMPU.

IKM akan berusaha meningkatkan keberkesanan portal untuk penyebaran dan perkongsian maklumat khususnya berkaitan latihan, konsultasi, penyelidikan, percetakan dan bimbingan. Dengan itu, IKM mengalu-alukan orang ramai untuk melayari portal IKM dan mengemukakan sebarang idea, pandangan dan maklumbalas bagi memantapkan lagi kandungan portal ini untuk manfaat semua pihak.

Akhir kata, saya berharap portal IKM akan menjadi sumber maklumat utama berkaitan latihan dan pendidikan MKM bagi melahirkan koperator dan usahawan yang cemerlang dalam gerakan koperasi dan keusahawanan.

Sekian, terima kasih

ARIFFIN MAMAT
Ketua Pengarah
Institut Koperasi Malaysia